Sunday, February 17, 2008

Rakyat Melaka terkesan dengan isu kenaikan minyak, harga barang

MELAKA, 18 Feb (Hrkh) - Rakyat Melaka terutamanya di kalangan pengundi dikatakan terkesan dengan isu kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang yang sehingga kini masih belum boleh dijawab oleh kerajaan BN, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Beliau yang ditemui semasa lawatan Harakah ke Pejabat Perhubungan PAS Melaka semalam berkata, setakat ini isu setempat tidak mendapat perhatian masyarakat.
Isu-isu yang membabitkan peribadi Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan hutang-hutang kerajaan negeri selain projek yang tidak menguntungkan kurang mendapat perhatian.
Ini memandangkan sikap rakyat Melaka lebih kepada melihat soal pembangunan yang bagi mereka adalah sumbangan yang besar kerajaan kepada rakyat.
Meskipun dicelah-celah pihak kerajaan melaksanakan pembangunan itu adanya rasuah dan penyelewengan namun ia dianggap sebagai satu perkara yang tidak mendatangkan kesan kepada 'mood' rakyat untuk menolak kepimpinan BN Melaka, katanya.
Isu-isu nasional terutamanya isu kenaikan harga minyak yang mendorong kepada kenaikan harga barang sedikit sebanyak menyumbang kepada kempen yang sedang dijalankan PAS serta parti pembangkang lain, katanya.
PAS Melaka telah memulakan kempen dan kerja-kerja penerangan sejak tahun lalu, namun selepas pembubaran Parlimen pada 13 Februari lalu, gerak kerja lebih dipergiatkan lagi, kata Adly yang turut ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab.
Beliau juga menyatakan, sambutan rakyat terhadap bahan edaran mula menampakkan perkembangan yang positif hinggakan terpaksa menggandakan cetakan yang dibuat dua hari sekali.
Secara keseluruhannya PAS Melaka hampir pasti akan bertanding di 13 Dun dan satu Parlimen selepas beberapa pertemuan bagi membincangkan pembahagian kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) hampir selesai.
PAS Melaka juga mensasarkan sekurang-kurangnya lima Dun tumpuan, tetapi yakin dua Dun di Parlimen Jasin akan berlaku persaingan sengit dengan calon BN.

No comments: