Monday, March 3, 2008

Politik Islam

"
Berparti politik dengan melibatkan orang awam, pemimpin, ahli mahupun penyokong parti adalah dakyah pihak barat. Parti politik adalah rekaan manusia semata-mata bertujuan menentang hukum Islam yang mereka musuhi dan seterusnya menghancurkan umat Islam. Mereka mengaburi mata manusia dengan memberi kuasa kepada manusia, iaitu rakyat sesuatu negara, seolah-olahnya ditangan rakyatlah letaknya kuasa untuk menentukan pemerintahan negara. Yang demikian manusia menjadi megah dan lupa diri kerana kononnya mempunyai kuasa sehingga sanggup mengabaikan hukum yang diwajibkan oleh Islam dalam menentukan pemerintahan negara.




1. Natijahnya negara-negara Islam yang mengamalkan berparti politik menjadi lemah dan kucar-kacir, tiada halatuju kerana berlaku perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dikalangan rakyat. Sehingga kini tiada sebuah pun di antara negara-negara Islam itu yang dapat mencapai taraf negara maju, walaupun telah sekian lama merdeka. Sebaliknya yang di dapati hanya rasa tidak puas hati dan tertindas yang tidak henti-henti di dalam hati semua pihak serta sedikit pembangunan dari segi fizikal yang amat diheboh-heboh dan dibangga-banggakan sahaja, tanpa di ketahui secara khusus tentang manafaatnya kepada kepetingan rakyat dan negara atau mempunyai lain-lain kepetingan dan tujuannya, sedangkan wang rakyat telah banyak dibazirkan semata-mata untuk berpolitik.



2. Sebenarnya menurut politik Islam ialah kuasa pemerintah itu hanyalah menjadi hak Allah swt dan para wakilNya yang diizinkanNya sahaja, sebagaimana yang difahami dalam surah An-Nisa ayat 64, “Tidak kami utus seorang Rasul kecuali untuk ditaati dengan izin Allah...” Para wakilNya diamanahkan serta diberi ilmu untuk melaksanakan pemerintahan sehingga dapat mencapai kemenangan, keagungan dan kemulian dengan pertolonganNya. Bukan sebarang orang boleh melaksanakan pemerintahan, lebih-lebih lagi mereka yang dipilih melalui kuasa manusia yang jelas tidak mempunyai ilmu bagi melaksanakan hukum Allah swt di dalam pemerintahan. Allah swt amat mengecam hal ini melalui surah Al-Maidah ayat 44, “Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah Allah turunkan maka mereka adalah orang-orang yang kafir.”


3. Ramai umat Islam kini terjebak di dalam kancah pemerintahan yang dilarang keras oleh Allah swt, sama ada para pemimpin, ahli dan penyokong parti politik mahupun para pengundi. Semua terlibat di dalam musibah yang amat berat ini. Cuba kita renung nasib para pengundi iaitu terdiri dari rakyat biasa, di akhirat kelak seperti yang dijelaskan di dalam surah An-Nisa ayat 97, “Kepada mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat akan bertanya, Bagaimanakah keadaan kalian dahulu?’ mereka menjawab, ‘Kami adalah orang-orang yang tertindas di negara kami,’ Para malaikat kembali bertanya, ‘Bukankah bumi Allah ini luas sehingga kalian dapat berhijrah? Sungguh tempat kembali mereka adalah neraka jahanam dan itulah tempat kembali yang paling buruk.” Di dalam surah Al-Maidah ayat 80, “Engkau lihat kebanyakan mereka mengangkat orang-orang kafir menjadi wali, Sungguh amat jahat apa yang mereka kerjakan untuk diri mereka, iaitu amarah Allah kepada mereka, sedang mereka iaitu kekal dalam seksaan”. Bayangkanlah jika nasib pengundi sedemikian rupa, apalah rupanya pula nasib mereka yang secara langsung menjadi pemimpin, ahli dan penyokong parti politik yang tidak mengikuti ajaran Allah swt ini.



4. Hakikatnya, jika umat Islam tidak berhenti berparti politik, mereka akan terus ketinggalan di dalam semua lapangan hidup dan terus dipermainkan oleh musuh mereka. Akhirat kelak akan menerima balasan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Al-Quran yang tidak dapat diragukan kebenarannya oleh umat Islam sendiri. Umat Islam mesti berani meninggalkan berparti politik, jangan takut pada yang lain tetapi hendaklah takut kepada Allah swt. Lihatlah contoh negara Iran di mana janji Allah telah pun berlaku. Apabila Islam mula berkuasa di negara itu sejak tahun 1979, iaitu 29 tahun lalu, berbagai tekanan telah dikenakan oleh pihak musuh Islam, termasuklah perperangan, sekataan ekonomi serta lain-lain propaganda. Namun janji Allah swt adalah benar, rakyat Iran yang teguh iman mematuhi ajaran Islam mendapat pertolonganNya, sehingga menjadi sebuah negara yang aman bahagia serta menjadi sebuah kuasa yang amat dihormati dan digeruni oleh musuh dan lawan pada masa kini. Allah swt meluaskan kuasa Islam, dari itu sebagai umat Islam secara global serta menerimanya seluas-luasnya tanpa ada sempadan yang membenteng kesatuan kita umat Islam.



5. Justeru, dengan penuh rasa takut yang teramat sangat kepada Allah swt, umat Islam sedunia adalah diseru supaya segera meninggalkan amalan kita berparti politik ala barat yang telah banyak membawa kemusnahan kepada umat Islam selama ini. Takutlah seksaan Allah swt yang sedang kita alami di dunia sekarang ini dan azabnya yang menanti kita di akhirat kelak.Bagi rakyat yang bukan Islam yang mendiami negara-negara Islam, tiada larangan untuk mereka berparti politik. Mereka boleh terus berpolitik untuk menjaga kepentingan kaum mereka dan sebagai pemerintah adalah bertanggungjawab untuk mentadbir urusan mereka itu.



TOLONG EDARKAN RISALAH INI KEPADA SAUDARA ISLAM YANG LAIN, MUDAH-MUDAHAN ANDA PEROLEHI KECINTAAN ALLAH SWT.
Surah Al-Hajji Ayat 40 "Sesungguhnya Allah menolong orang yang menolong (Agama)Nya. Sungguh Allah Mahakuat lagi Mahaperkasa"


"

No comments: