Sunday, April 5, 2009





Rumah mesra alam pentingkan aliran udara








Kesihatan penghuni boleh terjejas jika tiada proses pertukaran udara di ruang kediaman

ANTARA ciri-ciri rumah mesra alam adalah membenarkan pengaliran udara yang cukup untuk tujuan ventilasi. Dengan adanya pengaliran udara yang cukup akan menyejukkan udara dalam dan mengurangkan kesan kelembapan. Proses pengudaraan semula jadi atau ventilasi udara adalah proses pertukaran udara di dalam bangunan dengan udara dari luar bangunan melalui elemen binaan bangunan yang terbuka.

Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di negara beriklim tropika adalah masalah suhu yang tinggi, pancaran sinaran matahari yang terik dan menyilaukan serta kadar kelembapan yang tinggi. Masalah ini ditambahkan lagi dengan suhu yang dikeluarkan oleh badan manusia itu sendiri. Dalam proses metabolik, badan manusia juga mengeluarkan suhu tertentu kepada alam sekitarnya bagi memelihara dan mengimbang suhu badan mereka. Proses metabolik itu berlaku apabila makanan yang dimakan bertukar menjadi tenaga untuk pergerakan dan pembangunan tisu badan manusia. Oleh itu kepanasan yang diperoleh badan manusia melalui sinaran matahari atau udara panas perlu dikurangkan.



Pertukaran udara yang baik di dalam rumah dapat menghasilkan keselesaan terma. Aliran udara inilah yang mempercepatkan proses pengewapan di permukaan kulit dan membantu memberi kesejukan pada penghuni rumah. Selain itu, pertukaran udara di dalam rumah juga sangat penting untuk kesihatan. Di dalam rumah banyak berlaku pengewapan daripada pelbagai aktiviti seperti memasak, mandi dan mencuci. Wap air ini akan cenderung menyerap memenuhi ruang. Aneka molekul udara yang berbahaya juga banyak terkandung pada bahan yang digunakan di dalam rumah seperti kemasan cat, permaidani atau perabot yang terhasil akibat tindak balas bahan kimia yang terkandung bahan-bahan itu dengan wap air. Akibatnya apabila rumah yang tidak mempunyai pertukaran udara yang baik akan menyebabkan molekul-molekul kimia berkenaan akan tertinggal di dalam ruang dan dihidu oleh penghuni ruang.

Pengaliran udara

Pengaliran udara bermaksud penggantian udara dalaman yang panas dengan udara luaran yang sejuk. Jika tiada penggantian maka tidak berlakulah pengaliran udara. Ada tiga cara pergerakan udara atau angin yang boleh berlaku dan diperoleh iaitu;


Lubang angin di bahagian atas untuk udara panas keluar dari rumah.



Pengaliran udara semula jadi



Berlaku tiupan angin

Perbezaan suhu

Pengaliran udara tidak semula jadi

Peralatan elektrik iaitu kipas angin atau penyaman udara


Tingkap rumah tradisional contoh terbaik pengaliran udara.

Selain itu, untuk memaksimumkan potensi angin untuk pengudaraan, amat perlu aliran pengudaraan berlaku di dalam bangunan. Aliran pengudaraan yang baik adalah dengan mengadakan;

Membina bukaan pada sisi bangunan

Dengan membina banyak bukaan seperti tingkap adalah cara terbaik bagi memudahkan pengaliran udara. Bukaan yang lebih dari satu bukaan dengan posisinya bukaannya secara berhadapan bagi menghasilkan pengudaraan silang atau cross ventilation.

Untuk membolehkan lebih banyak angin memasuki ruang dalaman rumah dari bahagian sisi maka adalah baik setiap sisi terdapat bukaan seperti tingkap atau pintu. Dengan sinar matahari sepanjang hari, jika terlalu panas di satu sisi maka di bahagian sisi yang lain dapat dibuka untuk membolehkan pengaliran udara berlaku.

Membina bukaan pada atas bangunan

Selain itu, bukaan dinding di bahagian atas juga membantu melahirkan aliran udara. Selain daripada berfungsi sebagai pengudaraan, bukaan atas dinding juga berfungsi sebagai lubang cahaya. Bagi mengelak berlaku kemasukan haiwan atau serangga pada bukaan berkenaan maka adalah baik sekiranya ditutup dengan kawat berjaring.

Angin adalah udara yang bergerak. Pergerakan udara berlaku dengan udara bergerak dari tempat bertekanan tinggi ke arah tempat bertekanan rendah. Oleh itu reka letak bukaan dinding atau lubang angin juga perlu diperhatikan fungsinya. Jika fungsinya untuk mengalirkan udara panas keluar dari dalam ruang maka lubang angin mesti diletakkan di bahagian atas. Contoh dengan meletakkan lubang udara atau exhaust fan di dalam bilik air adalah untuk mengalirkan udara panas akibat penggunaan air panas untuk mandi.

Bumbung kecil terangkat

Selain itu, pengaliran udara boleh dilakukan dengan mengadakan binaan seperti bumbung kecil terangkat, Binaan seperti ini adalah cara untuk mengeluarkan bahang udara dari ruang dalaman bangunan. Cara binaan bumbung kecil terangkat adalah dengan membina bumbung kecil yang terletak di atas bumbung utama. Binaan seperti ini bertujuan untuk membenarkan udara yang panas di dalam rumah tidak terperangkap dan boleh keluar melalui bukaan di bahagian atas. Udara ini diganti pula dengan kemasukan udara baru yang masuk melalui tingkap.

Pengaliran udara mekanikal

Pengaliran udara secara mekanikal boleh dilakukan dengan memasang alat pengaliran udara turbin. Cara begini boleh berlaku apabila turbin berpusing ditiup angin maka ia akan menyedut udara panas dalaman dan membuangnya keluar. Sekiranya tiada berlaku aliran atau tiupan angin, udara panas juga akan memusing turbin yang disebabkan oleh kesan tindanan udara.

Beberapa rujukan boleh dilakukan pada binaan rumah tradisional dalam kita cuba untuk mengadaptasi beberapa ciri reka bentuk rumah bersuhu iklim tropika. Reka bentuk rumah tradisional adalah contoh terbaik walaupun kita menghadapi beberapa situasi yang mungkin beberapa ciri berkenaan tidak dapat dilakukan kerana terikat kepada peraturan dari pihak penguasa tempatan (PBT) dan Undang Undang Kecil Bangunan (UBL).

Selain itu, kesan ekonomi, sosial dan keselamatan juga tidak membenarkan kita bertindak dengan membuat banyak bukaan pada dinding dan bumbung bangunan. Sebagai contoh, kesan daripada kekangan ekonomi pihak pemaju akan memaksimum reka letak rumah teres dengan membina secara memanjang dan ini menyebabkan aliran angin akan tersekat. Ini tidak berlaku pada reka letak rumah tradisional yang dibina secara bersilang bagi membenarkan aliran angin tidak tersekat atau berkurangan. Kesan sosial juga diambil kira kerana kalau dahulu rumah tradisional binaannya dibuat secara pelan terbuka kerana tiada binaan dinding di dalam rumah kerana bertujuan membenarkan aliran udara bersilang atau cross ventilation. Bagaimanapun, sekarang rumah moden dibina dinding atau sekatan secara kompleks untuk menyediakan bilik dan paling minimum setiap rumah kediaman mesti menyediakan tiga bilik tidur. Ini untuk mengelak kejadian rogol dan sumbang mahram daripada berlaku.

Faktor keselamatan juga menjadi perhatian utama bagi setiap rumah kediaman ketika ini. Kejadian pecah rumah dan kecurian sering berlaku dan menyebabkan reka bentuk rumah kediaman sekarang ini tidak membenarkan banyak bukaan pada kediaman. Ini menyebabkan banyak reka bentuk dibuat secara tertutup, jika adapun bukaan, pemasangan jeriji terpaksa dilakukan. Jika reka bentuk lebih terbuka ini hendak dilakukan maka perbelanjaan untuk memasang alat penggera keselamatan terpaksa dilakukan.

No comments: